
|
KISAH raja iblis MENGADAP BAGINDA JUNJUNGAN BESAR NABI MUHAMMAD RASULULLAH S.A.W
Allah SWT telah menitahkan Malaikat untuk berjumpa raja iblis dan
menyuruh raja iblis mengadap kehadhirat Baginda Junjungan Besar Nabi Muhammad
Rasulullah S.A.W. bagi membuka segala jenis rahsia kegemaran dan kebencian raja iblis.
Peristiwa ini juga membayangkan ketinggian darjat Baginda Rasulullah S.A.W.
serta menjadi perisai dan peringatan kepada sekelian umat Baginda. Malaikat
menyatakan Titah Allah SWT kepada raja iblis :
Hai iblis!! Bahawa Allah SWT Yang Maha Mulia lagi Maha Besar telah
menitahkan engkau supaya mengadap kehadhirat Rasulullah S.A.W. dan hendaklah
engkau membuka segala rahsiamu dan apa-apa yang disoal oleh Nabi Muhammad
S.A.W. hendaklah engkau menjawab dengan benar dan sekiranya engkau berdusta walau
satu perkataan sekalipun nescaya diputuskan segala anggotamu dan uratmu serta
engkau akan disiksa dengan azab yang amat keras Mendengar sahaja perkataan
Malaikat berkenaan, iblis terasa dahsyat dan amat gerun sekali. Dengan segera
iblis datang mengadap Baginda Rasulullah S.A.W. dengan menyamar menjadi seorang tua yang buta
sebelah matanya serta berjanggut putih sebanyak 10 helai yang panjangnya seperti
ekor lembu. Iblis memberikan salam dengan penuh hormat dan takzim sebanyak 3
kali yang tiada dijawab oleh Baginda Rasulullah S.A.W. iblis pun bertanya :-
Yaa Rasulullah, mengapakah Tuan Hamba tidak menjawab akan salam
hamba kerana bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah SWT?
Maka sabda Baginda S.A.W. :-
Hai aduwullah musuh Tuhan! Kepada akukah engkau menunjukkan
helahmu? Patutkah engkau dengan urusanmu itu hendak menipu aku sebagaimana
engkau menipu Nabi Allah Adam A.S. sehingga terkeluar dari syurga dan Habil
mati teraniaya dibunuh oleh Qabil dengan sebab hasutan engkau serta Nabi Allah Ayub
A.S. engkau tipu asap racun semasa baginda sujud di dalam solatnya hingga
begitu lama baginda menanggung sengsara oleh perbuatan engkau. Dan Nabi Allah
Daud A.S. dengan perempuan pahlawan Urya serta Nabi Allah Sulaiman A.S.
meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya untuk melarikan
cincin baginda; demikian juga beberapa Anbiya A.S.W.S serta para ulama yang
telah menanggung kesengsaraan dan penganiayaan oleh perbuatan mu yang khianat.
Hai iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia pada Tuhan Azza Wajalla. Hanya
salam engkau sahaja aku tidak ingin menjawabnya kerana telah diharamkan oleh
Tuhan dan engkau ini terlaknat serta telah ditentukan kepada engkau kedalam
neraka yang amat keras bagi menyiksa dirimu. Maka aku kenal sangat bahawa
engkaulah iblis yang menjadi raja segala syaitan telah datang dalam bentuk
penyamaran. Apakah tujuan engkau datang mengadapku ini?
Maka sembah iblis :
Ya Nabi Allah, janganlah Tuan Hamba murka. Demi sesungguhnya, Tuan
Hambalah Nabi yang terakhir lagi mulia dan kekasih Allah S.W.T. maka dapatlah
Tuan Hamba mengenali hamba. Ya Nabi Allah, tujuan kedatangan hamba ke mari
ialah dengan keizinan Tuhan Azza Wajalla. Allah SWT telah mengutuskan malaikatNya
dengan Titah supaya hamba datang mengadap ke hadhirat Tuan Hamba. Ini supaya
Tuan Hamba dapat bertanyakan apa juga persoalan mengenai keadaan umat Tuan
Hamba. Hamba sedia menkhabarkan secara terus-terang mengenai tipu daya hamba di
atas sekelian manusia bermula daripada zaman Nabi Allah Adam A.S. sehinggalah
kepada zaman yang akan datang selepas zaman Tuan Hamba.
Mereka yang hamba goda kepada beberapa banyak simpang dan jalan
yang sesat supaya mereka binasa dengan tipu daya hamba yang amat halus. Ya Nabi
Allah, setiap pertanyaan Tuan Hamba akan hamba jawab satu persatu dengan
sebenar-benarnya tanpa sembunyi.
Maka raja iblis pun bersumpah dengan nama Tuhan dan berkata :
Ya Nabi Allah, sekiranya hamba berdusta barang sepatah kata
sekalipun, nescaya hancur-leburlah diri hamba terbakar menjadi abu Mendengarkan
pengakuan Raja iblis dan sumpahnya, maka Rasulullah S.A.W. berasa sukacita dan merasakan
inilah peluang keemasan untuk baginda menyiasat segala perbuatan raja iblis
dengan disaksikan oleh sekelian sahabat yang hadir di majlis berkenaan. Ianya
juga akan menjadi senjata atau
perisai kepada sekelian umat hingga kemudian hari.
DIALOG
RASULULLAH S.A.W : Wahai iblis!
Siapakah yang sebesar-besar seteru engkau dan apakah pandanganmu terhadap aku
ini?
raja iblis : Ya Nabi Allah, Tuan
Hambalah musuh hamba yang paling besar daripada segala seteru hamba di muka
bumi ini. Maka Rasulullah S.A.W. merenung wajah raja iblis menyebabkan iblis
menggeletar segenap tubuh badan serta anggotanya disebabkan terlalu gerun akan
kebesaran Baginda.
raja iblis : Ya Nabi Allah,
hamba mampu menyamar sebagai sesiapa juga termasuk haiwan bersekali dengan
suara-suara yang tepat. Hamba ditegah Tuhan Azza Wajalla untuk menyamar sebagai
Tuan Hamba kerana jika hamba melakukan yang demikian, nescaya terbakarlah hamba
menjadi abu .
raja iblis : Hamba
bersungguh-sungguh merentap iktikad anak Adam supaya mereka menjadi kafir ialah
kerana Tuan Hamba bersungguh-sungguh menasihatkan mereka dengan memberikan
pedoman kepada seluruh manusia supaya berpegang teguh kepada Islam. Begitulah
juga kesungguhan hamba menarik mereka kepada kafir, murtad dan munafik. Hamba
tarik sekelian umat Islam supaya meninggalkan jalan yang lurus dan beralih
kepada jalan yang sesat. Hamba berharap mereka akan masuk ke neraka bersamasama
dengan hamba serta kekal di dalamnya buat selama-lamanya.
RASULULLAH S.A.W: Hai iblis!
Bagaimanakah perbuatanmu kepada makhluk Allah SWT?
raja iblis : Ya Nabi Allah,
hamba goda perempuan-perempuan supaya merenggangkan kedua pahanya kepada lelaki
yang bukan suaminya dan sesetengahnya hingga menghasilkan benih yang
bersalah-salahan sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan solat
dan leka dengan makan-minum dan berbuat kemungkaran. Sesetengahnya hamba
lalaikan dengan harta-bendanya daripada emas, perak, rumah dan ladang dan
hasilnya dibelanjakan ke atas segala pekerjaan yang haram. Telah banyak kaum lelaki dan perempuan terpesong imannya menerusi
tentera jin, iblis dan syaitan yang hamba perintahkan supaya menarik mereka ke
jalan kemungkaran. Kalau terdapat sesuatu pesta yang melibatkan pergaulan bebas
lelaki dan perempuan, maka hamba akan menggoda bersungguh-sungguh supaya mereka
kehilangan maruah, meminum arak dan mempengaruhi rakannya dengan cara paksaan
supaya meminum arak sehingga hilang akal dan hilang rasa malu mereka. Lalu
hamba hulurkan tali percintaan yang asyik sehingga terbuka beberapa pintu
maksiat yang besar supaya mereka berhasad-dengki sehingga melakukan perzinaan.
Apabila lelaki dan perempuan berkasih-kasihan, maka terpaksalah
mereka mencari wang menerusi tipu daya serta mencuri. Sekiranya mereka
menyedari kesalahan masing-masing dan ingin bertaubat atau beramal-ibadat,
hamba akan halang mereka sehingga mereka bertangguh dan bertempoh dalam berbuat
kebajikan. Hamba juga akan menggoda dengan lebih kuat supaya melazimkan maksiat
dan menyukai isteri orang.
Maka telah ramai umat Tuan Hamba telah hamba sesatkan dengan jalan
ini dengan bantuan jin, syaitan dan iblis di mana hamba menyuruh mereka
menghasut seluruh anggota manusia hingga ke dalam tubuh badannya. Apabila
mereka digoda pada hati, maka mereka akan sentiasa riak dan takabbur, ujub serta
melengah-lengahkan amalnya dan berlaku sombong. Apabila mereka digoda pada
lidah, maka sentiasalah mereka gemar berdusta, mencela dan mengumpat satu sama
lain. Demikianlah hamba menghasut mereka semasa siang, malam, pagi dan petang.
RASULULLAH S.A.W: Hai iblis! Mengapakah
engkau suka bersusah-payah dan berpenat penatan untuk melakukan pekerjaan yang
tidak memberikan sebarang faedah kepada dirimu bahkan menambahkan lagi laknat
ke atas dirimu serta engkau akan ditimpakan sebesar-besar siksaan di dalam
neraka yang paling bawah sekali?
RASULULLAH S.A.W: Hai laknatuLlah!
Siapakah yang menghidupkan engkau? Siapakah yang menjadikan engkau? Siapakah
yang melanjutkan usia engkau? Siapakah yang menerangkan mata engkau? Siapakah
yang memberikan pendengaran telinga engkau? Siapakah yang memberikan kekuatan
kepada anggota engkau?
raja iblis : Adalah sekeliannya
itu adalah anugerah daripada Allah SWT yang Maha Besar. Tetapi hawa nafsu dan
takabur serta khianat telah menyebabkan hamba melakukan sebesar-besar
kejahatan. Tuan Hamba juga sedia maklum bahawa hamba pernah menjadi ketua
segala malaikat sehingga ribuan tahun dan bersujud kepada Allah SWT semenjak di
dunia ini lagi dan hamba telah dinaikkan darjat menerusi satu langit ke satu
langit dengan aman. Hamba pun mendiami tempat hamba dengan beribadat bersama-sama
malaikat serta berkhidmat kepada Tuhan Azza Wajalla dalam tempoh yang begitu
lama.
Tiba-tiba datang Firman Allah SWT kepada hamba sekeliannya
mengenai dijadikanNya seorang khalifah di dalam dunia ini. Maka hamba membantah
kerana tidak suka berkhalifah. Lantas Tuhan Azza Wajalla menjadikan seorang
lelaki dan dititahkan hamba dan sekelian Malaikat memberikan penghormatan
kepada Adam kecuali hamba seorang enggan bersujud dan hamba telah mengingkari
hukumNya. Maka hamba dimurkai Tuhan Azza Wajalla serta dilaknatiNya hamba
sehingga Hari Qiamat. Wajah hamba yang selama ini bercahaya dan cantik telah
dihapuskan oleh wajah yang hodoh dan keji. Hamba sakit hati dan begitu berdendam
kepada Adam. Kemudian Adam diangkat oleh Tuhan Azza Wajalla menjadi raja di
dalam syurga serta dikurniakan seorang isteri untuk dijadikan permaisuri yang
memerintah segala bidadari. Sentiasalah mereka dalam kesukaan dan kesenangan.
Hasad-dengki hamba menjadi-jadi kepada kedua mereka dan merancang untuk
mengkhianati mereka. Akhirnya hamba telah menipu Siti Hawa supaya meminta Adam memakan
buah khuldi larangan Tuhan Azza Wajalla. Maka kerana perempuan itulah, Adam
termakan buah larangan berkenaan sehingga mereka dihalau dari syurga dan
diturunkan ke dunia secara terpisah kedua suami-isteri beberapa lama
sehinggalah dipertemukan kembali oleh Tuhan Azza Wajalla dengan selamatnya sehingga
mereka mendapat beberapa orang anak lelaki dan perempuan.
Kemudian kami hasut pula anak lelakinya yang bernama Qabil supaya
membunuh abangnya Habil sehingga mati. Itupun hamba masih tidak berpuas hati
sehingga hamba dapat melakukan pelbagai tipu-daya ke atas sekelian anak-cucunya
hinggalah ke Hari Qiamat. Tetapi Tuan Hamba telah menghalang pekerjaan hamba
dengan menarik mereka supaya memeluk Islam. Ada pun sebelum Tuan Hamba diputerakan ke dalam dunia ini, hamba
bersama-sama bala tentera hamba mampu naik ke
langit dengan mudahnya mencuri rahsia dan tulisan-tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat dan mendapat pahala serta
syurga. Demikian juga bagi mereka yang beribadat malam akan mendapat setinggi-tinggi pahala. Apabila hamba
turun ke dunia, maka hamba khabarkan kepada mereka itu dengan jalan yang sesat melalui pelbagai tipu
daya sehingga mereka berpegang kepada kitab-kitab bidaah dan karut. Tetapi apabila Tuan Hamba zahir ke
alam dunia ini, maka hamba tidak dizinkan Allah SWT untuk naik ke langit dan hamba tiadalah lagi
mendapat apa-apa rahsia umat Tuan Hamba.
Ramai malaikat yang menjaga di pintu tiap-tiap lapisan langit dan
jika hamba berdegil untuk naik ke langit, nescaya malaikat akan melontar anak panah api yang bernyala-nyala.
Telah ramai bala tentera hamba daripada golongan jin, iblis dan syaitan terkena lontaran
malaikat sehingga badan mereka terbakar menjadi abu. Hamba dan bala tentera hamba amat susah hati dalam
usaha menjalankan hasutan ditambah pula Tuan Hamba dapat menzahirkan mukjizat-mukjizat yang amat
hebat di hadapan sekelian raja raja dan di khalayak ramai.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Apakah tipu helah terawal engkau ke atas manusia?"
raja iblis : Pertama, hamba
palingkan iman mereka sehingga terpesong iktikad mereka kepada kekafiran samada
pada perkataan, perbuatan, kelakuan dan hati mereka. Namun jika mereka gagal
hamba pesongkan, hamba akan berusaha menarik mereka kepada jalan yang
mengurangkan pahala supaya lamakelamaan, mereka akan terjerumus juga mengikut
kemahuan hamba.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Apabila umatku mendirikan solat, bagaimanakah keadaan engkau?"
raja iblis : "Itulah
sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah seluruh badan hamba dan lemahlah
tulang sendi hamba, maka pada waktu itu, hamba menyuruh puluhan syaitan iblis
menggoda setiap orang yang hendak bersolat menerusi anggotanya supaya malas
bersolat dan hatinya supaya waswas dalam solatnya serta terlupa bilangan
rakaatnya. Mereka juga akan bimbangkan pekerjaan dunia dan hatinya hendak
cepat-cepat menamatkan solatnya. Sesetengah iblis masuk ke dalam mata orang
yang hendak bersolat supaya ia tidak kusyuk dalam solatnya sehingga mereka
berpaling atau menjeling ke kanan dan kiri semasa solat. (Maka) tidaklah tetap
hatinya serta hilanglah kusyuknya. Sesetengah iblis memasuki telinga orang yang
bersolat supaya memasang telinga mendengar perbualan orang, bunyi bunyian dan
sebagainya - yang sia-sia belaka. Sesetengah iblis duduk pada belakangnya
supaya orang yang bersolat itu tidak berupaya lama-lama semasa bersujud atau
bertahiyyat. Di dalam hatinya sering bekehendakkan agar solatnya segera tamat
dan ini tentunya akan mengurangkan pahala solat. Jika sekelian iblis berkenaan
gagal menggoda seperti yang demikian, nescaya mereka akan hamba hukum seberat-beratnya.
RASULULLAH S.A.W: "Jika umatku
membaca Al-Qur an kerana Allah, apakah yang engkau rasa?"
raja iblis : "Jika mereka
membaca Al-Qur an kerana Allah, maka terbakarlah tubuh hamba serta putus putus segala
urat hamba, maka larilah hamba dari mereka.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika
umatku mengerjakan haji kerana Allah, apakah yang engkau rasa?"
raja iblis : "Telah
binasalah diri hamba dan gugurlah tulang hamba kerana mereka telah
menyempurnakan rukunnya.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika
umatku berpuasa kerana Allah, apakah yang engkau rasa?"
raja iblis : "Ya Nabi
Allah, inilah suatu bencana yang besar bahayanya terhadap hamba kerana apabila masuk
malam awal Ramadan, maka memancarlah nur Arasy dan Kursiy serta segala Malaikat
menyambut dengan gembiranya. Bagi orang-orang yang berpuasa mendapat
sebesar-besar anugerah Allah SWT yang Maha Pengampun segala dosa yang telah
lalu serta digantikan pula dengan pahala yang amat besar serta tiada ditulis
segala kesalahannya selama ia berpuasa. Tambahan pula yang menghancurkan hati
hamba ialah segala isi langit, bulan dan bintang serta Malaikat sehinggalah
burung-burung dan ikan-ikan laut dan air tawar juga tiap-tiap yang bernyawa di
atas muka bumi mendoakan siang dan malam memohon ampun bagi orang-orang yang
berpuasa.
Satu lagi setinggi-tinggi kemuliaan orang yang berpuasa ialah
Tuhan menjadikan 1000 kemerdekaan dari azab neraka pada setiap hari dalam Bulan
Ramadan, segala pintu neraka ditutup, segala pintu syurga dibuka, angin/bayu
syirah yang amat lembut berhembusan ke dalam syurga.
Maka pada hari mulanya umat Tuan Hamba berpuasa, datanglah segala
bala tentera Malaikat yang garang tanpa mengira lawannya menangkap hamba dengan
perintah Tuhan serta ditangkapnya segala bala tentera hamba iaitu jin, syaitan
dan ifrit serta dipasung kaki tangannya dengan besi panas – dan dirantainya
hamba sekeliannya serta dibenamkan ke dalam bumi yang amat dalam dan ditambah
pula dengan beberapa azab sengsara sehingga selesai ibadat puasa umat Tuan
Hamba, baharulah hamba dilepaskan supaya hamba tidak boleh mengganggu mereka.
Dan umat Tuan Hamba sendiri telah merasa kesenangan dalam menjalani ibadat
puasa sebagaimana mereka bekerja untuk bersahur di waktu tengah malam seorang
diri sekalipun tanpa sedikit perlu merasa takut seperti malam-malam yang lain.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Bagaimanakah halnya para sahabatku kepada engkau?
raja iblis : "Ya Nabi Allah,
Adalah sekelian para sahabat Tuan Hamba adalah sebesar-besar seteru kepada hamba,
kerana tiada upaya hamba melawan mereka dan tidak ada satu pun tipu daya hamba
dapat memasuki mereka, kerana Tuan Hamba pernah berkata Sekelian para Sahabatku
adalah umpama bintang di langit, jika kamu mengikuti mereka nescaya kamu akan
mendapat petunjuk Ya Nabi Allah, sekelian para sahabat Tuan Hamba sangat taat
mengerjakan perintah Tuan Hamba lagi setia serta bersungguh sungguh menyiar dan
menghebahkan syariat Tuan Hamba kepada sekelian manusia menerusi Al-Qur an dan
Al-Hadis.
Ada pun Sayyidina Abu Bakar As Siddiq bin Abi Qahafah R.A. itu
semasa sebelum beliau bersama Tuan Hamba pun, hamba gagal menghampirinya
apalagi sekarang beliau telah mendampingi Tuan Hamba. Beliau amat kuat bersaksi
di atas kebenaran Tuan Hamba sehingga beliau telah menjadi wazirul azam dan
Tuan Hamba telah berkata bahawa kiranya ditimbang kebajikan Abu Bakar dengan
amal kebajikan sekelian isi dunia ini, nescaya lebih beratlah kebajikan Abu
Bakar. Tambahan pula, beliau telah menjadi bapa mertua Tuan Hamba dengan
mengahwinkan puterinya Sayyidatina Aishah R.A yang sangat hafiz Hadis-Hadis
Tuan Hamba.
Ada pun sahabat Tuan Hamba, Sayyidina Umar Al-Khattab R.A., hamba
tidak berani memandang wajahnya kerana beliau sangat tegas dalam menjalankan
hukum syariat Tuan Hamba. Jika hamba terpandang wajahnya, maka gementarlah
segala tulang sendi hamba kerana tersangat takut kepadanya kerana imannya yang
sangat kuat apalagi Tuan Hamba pernah bersabda, Jikalaulah ada lagi Nabi
selepas aku, nescaya Umar boleh menggantikannya kerana harapan besar Tuan Hamba
ke atasnya. Beliau juga mampu membezakan iman dan kafir sehingga beliau
mendapat gelaran Umar Al-Faruk .
Ada pun sahabat Tuan Hamba, Sayyidina Osman Al-Affan itu
lebih-lebih lagi tidak dapat hamba hampiri kerana lidahnya sentiasa bergerak
membaca Al-Qur an, siang, malam, pagi dan petang. Dialah penghulu segala orang
yang sabar dan penghulu segala syuhada dan menjadi menantu Tuan Hamba sebanyak
2 kali. Kerana ketaatannya, beliau dikunjungi oleh para Malaikat dengan penuh
hormat kerana sangat malunya Malaikat kepada beliau.
Tuan Hamba telah berkata, Barangsiapa menulis Bismillaahir Rahmaanir
Rahiim pada kitab kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya
mendapat pahala baginya seperti pahala syahid Sayyidina Osman. Ada pun sahabat Tuan
Hamba, Sayyidina Ali bin Abi Talib R.A., hamba sangat takut kepadanya kerana
kehebatan kelakuannya serta kedahsyatan melihat keperkasaannya di medan peperangan merempuh segala musuhnya. Maka apabila iblis, syaitan dan jin
memandang wajah Sayyidina Ali, nescaya terbakar kedua biji mata mereka kerana beliau sangat kuat
mengerjakan perintah Tuhan serta beliau adalah julung-julungnya kanak-kanak yang memeluk Islam serta
enggan menundukkan kepala kepada sebarang berhala, sebab itulah beliau digelar Ali Karimahullahu Wajhah
dan Harimau Allah . Tuan Hamba pernah bersabda, Akulah negeri segala ilmu dan Ali adalah pintunya. Tambahan pula, beliau telah menjadi menantu tuan hamba, maka terlebihlah ngeri hamba kepadanya.
RASULULLAH S.A.W: "Bagaimanakah
tipudaya engkau terhadap umatku?
raja iblis : "Adalah umat
Tuan Hamba ada tiga golongan
(1) Seperti air hujan turun dari langit yang menghidupkan segala
tumbuhan lagi banyak manfaatnya dan pertolongan kepada lainnya iaitu guru-guru yang
memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah SWT dan
menjauhi segala tegahanNya dan kata (Malaikat) Jibril A.S., Adapun ulama itu
pelita dunia dan pelita akhirat.
(2) Umat Tuan Hamba itu seperti tanah iaitu orang (yang) sabar,
bersyukur dan redha akan kurnia Tuhan kepadanya serta beramal soleh dan
bertawakkal kepada Allah dan banyak berbuat kebajikan, dan
(3) Umat Tuan Hamba itu keadannya seperti Fir aun yang terlampau
tamak dengan harta dunia (dan) dihilangkan amal (perbuatan) akhirat. Maka
(dengan) sukacitalah hamba kepada mereka (umat ke 3) lalu hamba masuk ke dalam
tubuh mereka, hamba putarkan hati mereka menuju ke lautan derhaka. Apabila
telah kekal atas jalan kejahatan, hamba tarik ke mana (sahaja) sesuka hati
hamba, jadi sentiasalah mereka bimbangkan dunia dan tidak suka menuntut ilmu,
dijadikan dirinya tiada kelapangan untuk beramal, tidak mengeluarkan zakat hartanya
dan sesetengah (golongan) yang miskin (yang) hendak beribadat, hamba goda
mereka (supaya) meminta kekayaan terlebih dahulu, maka apabila disampaikan
Tuhan akan hajatnya untuk mendapatkan kesenangan, maka (hamba) lupakan mereka
dari beramal, tidak mahu mengeluarkan zakat harta mereka ibarat Qarun dengan
mahligainya dan diri mereka serta harta benda mreka habis terbenam ke dalam
bumi kerana mereka tidak mahu membelanjakan (harta mereka) pada jalan-jalan
kebajikan dan jika terkena kesakitan, mereka tidak sabar, mereka sentiasa
bimbangkan harta mereka dan sesetengah dari mereka yang kaya asyik dengan
perebutan dunia, bercakap besar kepada sesama Islam dan benci dan menghina
golongan miskin. Mereka gemar mengeluarkan harta mereka kepada
jalan-jalan maksiat dan menaburkan harta mereka kepada perempuan-perempuan
jahat dan tempat-tempat judi dan (majlis) tarian.
RASULULLAH S.A.W: "Siapa pula yang
sama (tarafnya) seperti engkau?
raja iblis : "Orang-orang
yang meringankan syari at Tuan Hamba dan membenci orang-orang yang mempelajari
Islam.
RASULULLAH S.A.W: "Siapakah pula
yang memberikan cahaya pada muka engkau?
raja iblis : "Orang-orang
yang berdosa dan bersumpah bohong dan (menjadi) saksi pembohong serta memungkiri
janji.
RASULULLAH S.A.W: "Apa pula rahsia
engkau terhadap umatku?
raja iblis : "Jika seorang
muslim ingin membuang air besar (ke tandas), jika tidak membaca doa kepada Allah
SWT untuk mohon perlindungan daripada syaitan, nescaya hamba lumurkan najis itu
ke tubuhnya tanpa disedari.
(Inilah doanya sebelum sampai ke tandas - Bismillahi AllaHumma
Innii a uu dzubikaminal khubusi wal khobaa is jika masuk ke tandas,
dahulukanlah kaki kiri dan jika keluar dari tandas dahulukan pula kaki kanan
dan apabila jauh empat-lima langkah daripada tandas, dibaca di dalam hati GhufraanakalhamdulillaaHilladzii
azHaba annil azaa wa aafinii dan apabila selesai bersuci dibacakan doa AllaaHumma
ToHHir Qalbii minnifaaqi wahaSSin farjii minal fawaa hi shi )
Maka jika dibacakan doa-doa tersebut, larilah hamba daripadanya.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika
umatku berjimak dengan isterinya, bagaimanakah keadaan engkau?
raja iblis : "Jika
seseorang hendak berjimak dengan isterinya, (dan) jika dia membaca :
Auudzubillaa Himinassyaitaanirrajiim, Alla Humma jannibnaa minassyaitaani
wajannibissyaitaan maa razaqtanaa maka larilah hamba daripadanya. Maka jika dia
tidak membacakan doa tersebut, (maka) hambalah yang terlebih dahulu berjimak
dengan isterinya dan jika menjadi anak (hasil pergaulannya), maka anak itu
menggemari pekerjaan maksiat serta malas berbuat (baik) atas jalan kebajikan
dengan sebab kelalaian ibubapanya. Demikian juga jika mereka makan atau minum
dengan tidak membaca BismillaahirRahmaaniRahiim maka, hambalah yang terlebih
dahulu makan dan minum sebelum mereka, maka walaupun mereka makan, tetapi
mereka tidak kenyang.
RASULULLAH S.A.W: "Dengan jalan
manakah yang dapat menolak tipudayamu?
raja iblis : "Jika
seseorang berbuat dosa, maka ia segera sedar dan bertaubat kepada Allah SWT dan
menangis serta menyesal di atas perbuatannya serta apabila dia marah, dengan
segera dia berwudhuk, nescaya padamlah kemarahannya. Barangsiapa yang membaca
doa ini setiap kali solat Jumaat sebanyak 5 kali, maka dosanya akan diampunkan
Tuhan kerana dia telah bertaubat. Inilah doanya : Ilaahii lasta lil firdausi
ahlan, walaa aq waa a laa naaril jahiim, fahablii taubatan waghfir dzunuubii,
fainnaka ghaafirudzzanbil aziim.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Siapakah yang benar-benar menjadi kegemaranmu?
raja iblis : "Apabila
lelaki dan perempuan tidak mencukur atau mencabut atau menggunting bulu di
ariarinya selama 40 hari, maka hamba akan tinggal mengecilkan diri seperti pepijat
bersarang di situ, begitu juga, (menjadi) tempat hamba bergantung dan berbuai
pada bulu ketiak orang yang tidak mencukurnya atau mencabutnya.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Siapakah saudaramu?
raja iblis : "Orang yang
tidur meniarap atau tidur (nyenyak) di waktu subuh, maka dia masih tidur dan tidak
segera solat subuh, maka hamba akan mengulitnya sehingga dia lena sehingga
terbit matahari dan begitu juga pada waktu zohor, asar dan maghrib, hamba
(akan) beratkan hatinya (sehingga) menjadi malas mengerjakan solat. (Apabila hendak tidur, bacalah BismillaahirRahmaanirRahiim
sebanyak 21 X)
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Dengan jalan manakah yang boleh membinasakanmu?
raja iblis : "Orang yang
banyak menyebut nama Allah dan banyak memberikan sedekah dengan tidak diketahui
orang, memperbanyakkan taubat, memperbanyakkan tadarrus Al-Qur an serta solat
di waktu malam.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Apakah pula yang memecahkan penglihatan engkau?
raja iblis : "Orang yang
banyak beriktikaf di masjid kerana Allah (lafaz niat iktikaf Nawaitul I tikaaf
fii Haa dzal masjidi sunnatan lilLaahiTa aala)
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Apakah lagi yang memecahkan penglihatan engkau?
raja iblis : "Orang yang
taat kepada (kedua) ibubapanya serta membantu (menjaga) makan dan minum serta
pakaian mereka kerana Tuan Hamba telah bersabda Bermula syurga itu adalah di
bawah (tapak) kaki ibubapa.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apa
pula yang merantai engkau?
raja iblis : "Penjual
(peniaga) yang betul timbangan (dan) sukatannya, ukuran dan tukarannya.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Apabila umatku memberi salam antara satu dengan yang lain, bagaimanakah
keadaanmu?
raja iblis : "Apabila dua
orang (muslim) bertemu di tengah jalan, lantas memberikan salam
(Assalaamualaikum waroh matulLaaHiwabaa rakaatuh) dan dijawab oleh saudaranya,
maka terasa seperti pecah dada hamba, maka hamba pun meratap kerana kedua-duanya
telah diampunkan- dia dan saudaranya – apabila berpisah keduanya.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Siapakah pula sahabat karibmu?
raja iblis : "Orang yang
minum arak atau tuak (samsu) atau (ketagih) candu atau ganja (termasuk penyalahgunaan
dadah) kerana kemerbahayaannya telah nyata menyebabkan perpecahan, perkelahian
dan perceraian.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Siapakah pula yang bersekutu dan sekedudukan dengan engkau?
raja iblis : "Apabila
bertemu lelaki dengan perempuan-perempuan muda, maka hamba duduk pada leher perempuan-perempuan
muda itu, hamba hiaskan wajahnya (perempuan) dengan jelingan dan senyuman yang
menarik hati serta apabila terpandang belakang (perempuan), maka terpandanglah
lehernya (perempuan) yang halus dengan pinggang dan punggungnya melenggang yang
membangkitkan nafsunya (lelaki) serta manakala terpandang hadapannya (perempuan),
hamba hiaskan dadanya (perempuan) supaya bergetaran serta hamba panah tepat
pada jantung hati keduanya (lelaki dan perempuan) atau salah satu daripadanya
sehingga tergerak syahwatnya. Orang yang tiada memelihara hatinya, nescaya tidak
terpelihara farajnya dan apabila tidak memelihara farajnya, maka tidak
terpeliharalah imannya.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Di
manakah kediamanmu?
raja iblis : "(hamba
tinggal) Pada rumah berhala dan pada mana-mana batu, kayu, tembaga dan sebagainya
(bahan pujaan) Apabila mereka menyembah (berhala, batu, kayu, tembaga dan
sebagainya), maka hamba cenderungkan hati mereka supaya bertambah-tambah
keyakinannya terhadap pekerjaan mereka (menyembah berhala) yang syirik itu.
Betapa ramainya umat Tuan Hamba telah hamba pesongkan sehingga memasuki rumah
berhala Majusi dan Hindu yang menunjukkan betapa nipisnya iman mereka.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Di
manakah tempat perhimpunanmu?
raja iblis : "Pada rumah
wayang dan tempat majlis tarian dan seumpamanya seperti tempat percampuran lelaki
dan perempuan (secara bebas)
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Aku
lihat engkau mengintai-ngintai di dalam masjid, apakah yang hendak engkau
lakukan?
raja iblis : "Hamba hendak
mengganggu orang yang sedang bersolat di situ.
RASULULLAH S.A.W: "Kenapa engkau
tidak takutkan orang yang sedang bersolat dan bermunajat dengan Tuhannya?
Sebaliknya engkau takut pula dengan orang yang sedang tidur di sebelahnya
padahal orang (yang sedang tidur) itu (mungkin) dalam keadaan lalai.
raja iblis : "Adapun orang yang
sedang bersolat itu amat jahil sekali, (maka) mudahlah untuk hamba merosakkan
(melalaikan) solatnya, tetapi orang yang sedang tidur itu (sebenarnya) alim.
Maka apabila hamba menggoda dan cuba merosakkan
solatnya, hamba takut kalau-kalau orang alim itu bangun dari tidurnya lalu menegur serta memperbetulkan solat si
jahil itu (Sabda Rasulullah S.A.W. Na umul
aliimi khairun min ibaadatil jahiil yang bermaksud Tidur orang yang alim lebih baik daripada ibadat orang yang jahil seperti
1000 orang beribadat dengan tidak berilmu agama, sangat senanglah syaitan mengganggunya, teapi seorang
pelajar ilmu feqah itu, sangat susah bagi syaitan hendak menggodanya)
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Apakah kata-kata pujian bagimu?
raja iblis : "Suara orang
yang bernyanyi dan berpantun-seloka serta suara bunyi-bunyian kecuali orang yang
bernyanyi, berpantu, bernazam memuji Tuhan, bernasyid serta berselawat di atas
Nabi.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Siapakah yang sekaum denganmu?
raja iblis : "Orang yang
menipu harta orang dan memakan harta anak yatim serta memakan riba.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Sebab apakah engkau gelapkan hati manusia?
raja iblis : "Mereka yang
makan dan minum dengan (punca) mata pencarian yang haram kerana mereka buta
dalam mencari harta yang halal serta mereka banyak tidur sehingga matahari
tinggi dan meninggalkan solat subuh serta memenuhi perutnya dengan kenyang
sekali.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Siapakah yang menggembirakan hati engkau?
raja iblis : "Orang kaya
yang bakhil dan orang yang tidak mengeluarkan zakat untuk hamba Allah yang dhaif,
malah zakatnya dihantar kepada orang lain padahal kaumnya miskin, kerana orang
yang bakhil itu seteru Allah SWT serta orang yang tidak mengeluarkan zakat itu
akan masuk ke dalam neraka yang paling bawah bersama-sama dengan hamba.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Siapakah yang menyuburkan badan engkau?
raja iblis : "Orang yang
berhasad dengki dan orang yang tidak mempelajari hukum Islam serta semua perempuan
yang jahat dan perempuan yang merosakkan dirinya serta perempuan yang menjual
maruahnya.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika
seorang ulama meninggal dunia, bagaimanakah keadaanmu?
raja iblis : "Telah subur
dan bertunaslah hasutan hamba dan pekerjaan hamba. (Sabda Rasullullah S.A.W. -
yang bermaksud Barangsiapa yang berdukacita di atas kematian seorang ulama ,
maka dituliskan Allah SWT pahala baginya seribu ulama dan seribu syuhada ,
Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud Akan datang atas umatku yang melarikan
diri dari ulama atau mereka yang membenci golongan yang mengajar agama, maka
diberikan Allah SWT 3 jenis bala ke atas mereka (yang membenci atau melarikan
diri dari ulama dan seumpamanya)
(1) Dihilangkan keberkatan dalam pencariannya (rezki),
(2) Didatangkan Allah SWT ke atas mereka seorang ketua yang zalim
atau raja yang zalim, dan
(3) Dikeluarkan (dimatikan)
mereka daripada dunia dengan tidak beriman Na uu dzubillaaHimin dzaalik kita berlindung
dengan nama Allah SWT )
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika
umatku bersolat jemaah, bagaimanakah keadaanmu?
raja iblis : "Sesungguhnya
segala simpulan (tali pengikat) tipudaya hamba telah mereka leraikan (Maka
sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud Barangsiapa solat 5 waktu, maka dia akan
mendapat 5 perkara
(1) Tidak akan terkena pada dirinya kefakiran (kemiskinan),
(2) Diangkatkan darinya siksa kubur oleh Allah S.W.T.,
(3) Dianugerahi orang itu dengan kitab tulisannya (perbuatan di
dunia) pada sebelah kanan (pihak yang selamat),
(4) Melalui titian (Siraatal
Mustaqiim) di atas neraka sepantas kilat,
(5) Dimasukkannya Allah SWT ke dalam syurga tanpa sebarang hisab
dan tanpa sebarang siksaan. Sabda Rasulullah S.A.W. lagi yang bermaksud Solat
lelaki berjemaah lebih baik daripada solat 40 tahun dirumahnya seorang diri dan
solat berjemaah itu mendapat 27 darjat - serta solat berjemaah di rumahnya bersama
anak (anak) dan isterinya akan mendapat pahala haji dan umrah )
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika
umatku berselawat ke atas ku, bagaimanakah keadaanmu?
raja iblis : "Mereka telah
membelah muka hamba disebabkan ingatan kuat terhadap Tuan Hamba (Maka sabda
Rasulullah S.A.W. yang bermaksud Barangsiapa berselawat ke atasku, maka para
Mailaikat akan memohon diampunkan (segala dosanya) dia dan dia adalah sebahagian
daripada isi syurga
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika
umatku bersolat Hari Raya di masjid, bagaimanakah keadaanmu? Kerana Tuhanku
yang Maha Besar telah berfirman - Hai sekelian Malaikat! Saksikanlah olehmu
bahawa sesungguhnya telah Aku ampunkan sekelian dosa umat Muhammad, lelaki dan
wanita/perempuan, Maka apabila telah selesai dari solat dan khutbah dibacakan,
maka Firman Allah SWT Hai umat Muhammad!
Pulanglah kamu ke rumah masing-masing, sesungguhnya Aku telah
mengampunkan dosa kamu yang terdahulu dan yang kemudian dan Aku telah gantikan
dosamu itu dengan kebajikan!
raja iblis : "Ya
Rasulullah! Apabila umat Tuan Hamba pergi (untuk) bersolat Hari Raya, maka
hamba sangat berdukacita dan kesal. Maka hamba pun menjerit sehingga datang
sekelian bala tentera hamba dan (mereka) bertanya Hai raja kami! Siapakah yang
engkau marah? Adakah ianya (puncanya) dari langit atau dari bumi?
Perintahkanlah kami sekelian pergi membinasakan barang di langit dan di bumi.
Maka hamba menjawab Hai bala tenteraku! Apa yang menyebabkan aku berdukacita
ialah kerana Allah SWT telah mengampuni umat Muhammad pada Hari Raya ini. Wahai
sekelian bala tenteraku! Tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah SWT telah
memberkati puasa umat Muhammad? Dan Tuhan amat mengasihi dan mengasihani mereka
dengan penuh rahmat serta diperkenankan segala doa mereka dan diampunkan segala
kesalahan mereka? Wahai tenteraku! Hendaklah kamu goda mereka itu supaya malas
beramal ibadat dan resah dengan berjalan ke sana dan kemari serta asyik berjudi
serta bersukaria memuaskan nafsu dengan mengerjakan maksiat supaya datang
kemurkaan Tuhan ke atas mereka itu dan ditimpakan bala ke atas mereka kerana
dengan demikian, akan membawa kesenangan di dalam hatiku. Maka berangkatlah
sekelian bala tentera iblis syaitan untuk mengganggu umat Muhammad.
RASULULLAH S.A.W: "Jika umatku
membaca doa akhir tahun (Hijrah), bagaimanakah keadaanmu?
raja iblis : "Telah
bersusah payah hamba menggoda mereka sepanjang tahun, tiba-tiba mereka membaca doa
(yang hanya) mengambil masa yang sedikit, maka lemahlah hamba lalu hamba
menyapu dengan tanah (dan berkata), aduhai, celaka betapa malang dan celaka
diriku dengan kerugian, maka hamba pun berpaling (dan) pergi
(Doa Hujung Tahun AllaaHomma maa amiltu min amalin fii
HaaziHissanati mimmaa nahaitanii anHu, walam tar Dhahu walam tan sahu,
wahamilta alaiyya ba da qud rotika alaa, uquubatii, wada autanii ilattaubati ba
da jur aatii alaa ma Siatika, fainnii astaghfiruka faghfirlii waHablii min
amalin tarDhahu, wa wa datanii alaihitsawwaab )
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Jika
umatku membaca doa awal tahun, bagaimanakah keadaanmu?
raja iblis : "Ya
NabiyUllah! Putuslah harapan hamba, kerana barangsiapa membaca doa awal tahun, (maka)
Tuhan memerintahkan dua Malaikat supaya membakar buku kesalahan hambanya dan
dituliskan kebajikan di dalam (buku kebajikan) disebabkan orang yang membaca
doa ini .
(Doa Awal Tahun AllaaHomma antal abdiyyulQadiim,waHaaziHi sanatu
jadiidatun, as aluka fiihal iSmata minassyaiTooni wa au liyaa ihi. Wal au na
alaa Haa dzihiinnafsil ammaarati bissuu wal ish ti ghaala bisaa yuQorribunii
ilaika yaa Kariim )
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Siapakah yang menyokong engkau?
raja iblis : "Orang yang
tidak bertaubat atas dosanya dan suka ketawa ketika berbuat dosa berkenaan. Ya NabiyyUllaah!
Telah hamba binasakan ramai manusia dengan (menggoda mereka) mengerjakan dosa daripada
berbagai-bagai (jenis) maksiat, maka hamba gembria. Tiba-tiba, mereka
mengucapkan kalimahkalimah Laa ilaa Ha illAllaah dan istighfar, maka binasalah
hamba, kerana pada masa hamba dibuang ke dunia (dulu), hamba mengembara sambil
bersiul-siul dan orang yang bersiul itu adalah penghibur iblis syaitan, tetapi
orang yang azan itu adalah penghalau iblis syaitan, kerana para Malaikat akan
hadir bersolat bersama-sama dengan mereka .
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis!
Sekarang apalah kesudahan ikhtiar engkau di atas umatku, kerana aku telah
dibangkitkan oleh Tuhan ke dunia ini bagi menyelamatkan sekelian bani Adam
daripada kufur kepada iman, daripada gelap gelita kepada terang benderang?! Maka
iblis pun mengangkat kepalanya ke hadhirat Tuhan dan berkata Yaa Rabbi! Demi
kemuliaan Engkau, sentiasalah hamba akan berusaha dengan bersungguh-sungguh
pada menarik sekelian anak Adam kepada berbagai-bagai jalan maksiat selama ada
nyawa di tubuh mereka, hamba jadikan pemuda dan wanita bercampur dan
berkenalan, supaya hamba dapat mencelah di dalamnya. (Maka) Datanglah Firman
Allah SWT : Hai mala un, Demi Kebesaran dan KetinggianKu, bahawa Aku sentiasa
bersedia untuk mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu memohon ampun kepadaKu.
RASULULLAH S.A.W: "Hai iblis! Apa
lagi yang engkau musykilkan?
raja iblis : "Ya
Rasulullah! Bahawasanya hamba sangat ajaib (hairan) melihat dua macam hal
sekelian hamba Allah SWT iaitu
(1) Mereka itu mengaku kasihkan Tuhan, walhal mereka itu taatkan
hamba dan
berbuat maksiat,
(2) Mereka itu sangat marah kepada hamba, tetapi mereka menurut
hasutan hamba. (Maka) Datanglah Firman Allah SWT: Hai mala un! Demi Kemuliaan
dan KebesaranKu, Aku anugerahi umat Muhammad (dengan) 2 kebahagiaan :
(1) Kasih mereka kepadaKu dijadikan kifarah (penebus dosa) bagi
maksiat mereka kerana tipudayamu, dan
(2) Kemarahan mereka kepadamu Aku jadikan kifarah (penebus dosa)
perbuatan maksiat mereka kepadaKu
Maka iblis tercengang-cengang mendengar umat Muhammad yang sangat
dikasihi Tuhan GhafuururRahiim yang Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani
hambanya dengan limpah rahmatNya. Setelah selesai baginda Rasulullah S.A.W.
berdialog dengan raja Iblis, maka baginda menghalau iblis dengan sabdanya :
Wahai laknatullah! Nyahlah engkau dari hadapanku ini maka iblis pun keluar
dengan perasaan yang amat dukacita.
Maka hairanlah para sahabat yang hadir dalam majlis berkenaan
mendengar tipudaya iblis yang menyelubungi seluruh umat manusia. Sabda Nabi
S.A.W.: Hai para sahabatku! Ketahuilah olehmu bahawa iblis telah membuat
kesalahan atas beberapa sebab :
(1) ia engkar dan membantah perintah Tuhan,
(2) ia takbur dan besar diri
(3) ia berhasad dengki dengan Nabi Adam a.s.
(4) Ia menghasut dan mengkhianati (manusia) (dari) seorang kepada
seorang (yang lain) seperti yang telah ia ajarkan kepada Qabil dengan
tipudayanya sehingga berani Qabil melakukan pembunuhan ke atas saudaranya Habil
yang disayangi oleh Nabi Allah Adam a.s. Sabda Nabi S.A.W : Bahawa pada suatu
hari, Iblis mengadap Nabi Musa bin Imran a.s. dan berkata : Yaa NabiyuLLaah!
Apabila Tuan Hamba bermunajat kepada Allah S.W.T di Bukit Tursina, hamba hendak
bertaubat kepada Allah SWT, adakah (taubat) hamba diterimanya? Maka sukacitalah
Nabi Musa a.s. mendengarkan iblis yang hendak bertaubat itu lalu baginda
menyanggupi permintaan iblis. Setelah tiba di Bukit Tursina, maka berdoalah
baginda kepada Allah SWT memohon petunjuk.
Maka datanglah Firman Allah S.W.T. :
Wahai Musa, kesalahan iblis boleh Ku ampunkan dengansyarat hendaklah ia (iblis) bersujud pada kubur Nabi Adam Maka
Nabi Musa a.s. pun menyampaikan firman Allah S.W.T. kepada iblis. iblis
mengeluh dan berkata Wahai Nabi Musa! Semasa Adam masih hidup pun hamba tidak
sudi bersujud kepadanya, inikan pula, Adam telah mati Maka iblis pun beredar. Sabda
Nabi : Bermula (tegaknya) tiang dunia ini dengan 4 perkara :
(1) Dengan ilmu para ulama,
(2) Dengan adilnya sekelian raja-raja,
(3) Dengan kemurahan (hati) orang-orang kaya,
(4) Dengan doa sekelianfakir miskin.
Maka sekiranya tidak ada ulama, nescaya binasalah sekelian orang
yang jahil dan sekiranya raja-raja tidak adil, nescaya (segolongan) manusia
(ibarat) memakan (segolongan) manusia yang lain sebagaimana harimau menghambat
dan memakan kambing. Sekiranya (pula) tidak ada kemurahan (hati) orang-orang kaya,
nescaya binasalah sekelian fakir miskin dan sekiranya tidak ada doa fakir
miskin, nescaya runtuhlah langit dan bumi.
|
Alhamdulillah ![]() Hana
Tweet Tweet
Tweets by Cahaya Hana Jom tutup aurat :)
![]() Change for better
![]() Will do, In shaa Allah
![]() Even the smallest one
![]() Recent Posts
|